AHLAN WA SAHLAN WA MARHABAN BIKUM!
Kumpulan remaja Nur Irsyad (NI) yang bermaksud Cahaya Petunjuk ditubuhkan
pada bulan Jun 2000 untuk projek dana pembangunan Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah.
Album pertama NI bertajuk Nur Irsyad yang dilancarkan pada awal 2001 di
Singapura dan Kuala Lumpur di bawah naungan syarikat pengedaran Telaga
Biru Sdn Bhd telah berjaya mencatat penjualan sebanyak 4,000 unit di
S’pura dan 11,000 unit di Malaysia.

Pada asalnya, NI terdiri daripada enam orang remaja Singapura yang
menuntut di Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah. Setelah tamat pengajian di
Madrasah Al-Irsyad, kumpulan yang kini di bawah naungan syarikat NI
Inspirations telah melalui rombakan anggota dan mengambil dua orang
anggota baru dari Malaysia. Kini NI terdiri daripada
Nor Muhammad bin Ali,
Muhammad Izzaki bin Nasir
(kedua-duanya anggota asal NI dari S’pura),
Nik Ahmad Afham bin Nik Abdullah
dari Kelantan dan Mohd
Rozaini bin Mohd Rahim dari Pahang. Nor, Afham dan
Rozaini merupakan lepasan Diploma Tahfiz Dan Qiraat/Dakwah Darul Quran
JAKIM Selangor, sementara Izzaki pula merupakan lepasan Jurusan
Multimedia dan IT dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Pada 23 Oktober 2004, NI telah melancarkan album inspirasi keduanya di
Singapura yang berjudul
NI: Amanah Remaja. Berbeza dari album pertamanya yang
mana mesejnya lebih tertumpu kepada aspek kerohanian, album kedua ini
memuatkan 9 buah lagu-lagu inspirasi dan motivasi, penuh dengan
mesej-mesej positif dan digubah dalam pelbagai rentak muzik untuk
memenuhi citarasa para remaja khususnya. Album ini sesuai digunakan
untuk bengkel-bengkel motivasi remaja.
Pada 11 Mei 2007, NI baru menerbitkan album ketiga mereka berjudul
Nazam Ma’rifatullah
yang memuatkan 6 buah lagu ciptaan Hj Hussein Abdul Latiff, mengenai
mengenal Allah. Pada masa yang sama NI kini meneruskan kegiatan
kebajikannya dengan mengadakan Program Amanah Remaja yang terdiri dari
Program Kesenian Islam, Program Motivasi dan Program Amal untuk para
pelajar dan aktivis di madrasah, masjid dan badan-badan Islam di
Singapura.
Visi Nur Irsyad
Seni Hiburan Alternatif.
Misi Nur Irsyad
Bersama membudayakan dan mengekalkan seni hiburan alternatif
yang berlandaskan ajaran Islam.
Konsep Album
Album-album NI yang mana lagu-lagunya bercorak santai,
inspirasi dan kerohanian boleh didapatkan di Muzika Records, Haruman
Makkah dan NI Inspirations. Untuk mendengar sedutan lagu-lagu NI,
klik disini.
|